Saturday, April 4, 2009

Perkahwinan dan Kehidupan

Perkahwinan merupakan salah satu peristiwa yang besar dalam kehidupan seseorang. Menurut Erikson di dalam Teori Psikososialnya, manusia pada tahap umur dewasa muda (sekitar 20 hingga 35 tahun) akan memberikan tumpuan kepada perkembangan sosialnya dengan membina intimasi dengan individu yang lain iaitu menjalin hubungan yang rapat dan bermakna dengan individu lain melalui ikatan persahabatan dan juga perkahwinan. Jalinan hubungan persahabatan yang akrab ini boleh dilihat dengan hubungan yang rapat antara seorang individu dewasa lelaki atau perempuan dengan beberapa individu lain.

Sekiranya individu ini berjaya membina hubungan yang rapat dan bermakna dari segi moral dan emosi, ia akan merasai nikmat kemesraan dengan individu lain dan masyarakat. Walau bagaimanapun, biasanya manusia akan memilih seorang individu yang berbeza jantina untuk berkongsi jalinan emosi, moral dan seksual di dalam sebuah ikatan yang dipanggil perkahwinan. Ikatan-ikatan lain hanyalah sebuah persahabatan walaupun ia mungkin lebih akrab dan bermakna dari ikatan perkahwinan.

Kita digalakkan merancang dalam kehidupan. Bak kata pepatah Inggeris "If you fail to plan, you plan to fail". Sebagai contoh, ketika dalam perjalanan dari kampus kediaman ke dewan kuliah yang berjarak lebih kurang 800m, kita akan melalui lebuhraya, jalanraya, mungkin lorong belakang café, celah pokok dan sebagainya untuk sampai ke destinasi iaitu dewan kuliah. Sudah tentu kita merancang untuk melalui jalan yang selamat, mudah, kurang masalah, menjimatkan masa, tenaga dan lain-lain supaya kita dapat sampai dengan selamat, pantas dan dalam keadaan yang tidak ada cacat cela. Kalau sudah terjatuh longkang, pastilah sudah ada celanya. Mungkin terpatah gigi, koyak seluar, cedera di lutut dll.

Begitu juga dalam kita menongkah universiti kehidupan yang penuh dengan cabarannya tersendiri. Di sana ada lebuhraya yang besar, selesa, mudah, selamat dan menyeronokkan perjalanan. Mungkin juga kita tempuhi jalanraya biasa, dua lorong tidak sehala yang memerlukan kita lebih berwaspada. Ada manusia yang terpaksa melalui lorong-lorong yang gelap dan hanyir di dalam denai-denai kehidupan demi meneruskan perjalanan dalam kehidupan.

Walau apapun, buatlah perancangan secara kasar untuk mengelakkan kita terjatuh ke dalam lubang. Mungkin di sana ada jerangkap samar yang tidak kita sedari. Mungkin juga ada lubang besar untuk memerangkap binatang buas tapi mungkinkah manusia pun boleh terperosok ke dalamnya? Kalau setakat terjatuh dalam longkang kecil mungkin tak begitu besar kesannya. Bagaimana kalau terperosok dalam lubang yang besar dan dalam? Kepada siapa mahu diminta bantuan? Bagaimana pula kalau termasuk ke dalam lubang yang digali sendiri?

Apa kaitannya perkahwinan dengan lubang ini? Tunggu....
Oleh Azlina

No comments:

Post a Comment