Wednesday, September 2, 2009

Trend Perubahan Global Akan Datang Trend Perubahan Global Akan Datang

Rajah 1

Dalam membentuk sistem pendidikan untuk keperluan generasi akan datang, beberapa isu penting yang terlibat dalam perubahan pada masa hadapan perlu dikemukakan terlebih dahulu.

Antara trend yang akan berlaku pada masa hadapan di dunia pada abad ke 21 ialah revolusi teknologi, peningkatan bilangan penganut agama, aliran pemikiran sesama umat Islam, kebangkitan Islam, kejatuhan akhlak, globalisasi, hak asasi manusia, alam sekitar dan multi etnik.


1.
Revolusi Teknologi


Beberapa teknologi yang sedang berkembang pada akhir abad ke 20 ialah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi bio dan teknologi nano. Teknologi maklumat telah menunjukkan kemajuan pesat bagi komputer, telefon bersel dan internet. Teknologi bio membangunkan penyuburan in-vitro, perlindungan genetik dan hasil tanaman yang diubah suai secara genetik. Penyelidikan teknologi nano pula membangun bahan yang lebih baik dalam usaha untuk mengecilkan saiz produk dan sebagainya.

Dalam abad 21, ketiga-tiga teknologi akan disepadukan dan bertemu pada satu titik pemusatan (convergence) iaitu teknologi bio, nano dan ICT akan digabungkan bersama-sama dengan sains kognitif, psikologi sosial dan sains sosial. Teknologi convergence (TC) adalah inisiatif untuk meningkatkan prestasi insan serta memberikan transformasi dalam kehidupan seperti yang dilaporkan dalam Converging Technologies for the Improvement of the Human Performance: Nanotechnology, Biotechnology, Information technology and Cognitive Science (National Science Foundation, USA) dan Converging Technologies: Shaping the Future of European Societies (European Commission).

Antara contoh teknologi convergence ialah molekul sel saraf boleh digabungkan dengan pengesan tidak asli (artificial sensor) untuk memulihkan penglihatan bagi beberapa kes buta, penggunaan substrat biologi dalam cip DNA untuk mendiagnosis kesihatan seseorang atau alam sekitar dan penyelidikan sains sosial boleh memandu pengkomputeran ambien sebagaimana pengguna manusia akan manjadi semakin pantas untuk mendapat maklumat tentang ruang dan situasi yang mereka sedang bergerak dan beraksi. Contoh-contoh sedia ada seperti bio kimia, biologi molekular, perubatan bersifat evolusi, pengkomputeran linguistik, psikologi kognitif dan mekatronik bolehlah dianggap sebagai hasil convergence (pemusatan) yang dahulunya adalah terdiri daripada bidang-bidang yang berasingan. Dalam bidang teknolog maklumat, telefon yang digabungkan dengan skrin paparan, komputer, akses internet dan kamera yang berada dalam satu peranti juga termasuk dalam teknologi convergence. Teknologi convergence untuk kegunaan militari seperti pakaian pintar peperangan yang ringan dan dilengkapi dengan teknologi penglihatan julat jauh akan melindungi tentera dari ancaman musuh dan persekitaran sedang dikaji oleh penyelidik Massachusetts Institute of Technology (MIT) di USA.

Persoalannya sekarang adakah semua teknologi itu baik? Teknologi yang dipinjam mempunyai kesan sampingan di antaranya pergantungan yang berterusan kepada negara-negara maju tetapi kesan ke atas budaya dan persekitaran Islam adalah lebih parah. Samada negara-negara Islam mengusahakan teknologi alternatif (yang mana agak terhad) atau domestic self-reliance technology. Teknologi adalah batu batan binaan yang diperlukan oleh sesuatu tamaddun. Hakikatnya, kelangsungan tamaddun Islam akan terbantut tanpa usaha untuk menghasilkan teknologi tersendiri yang berteraskan tasawwur al Islam. Buat masa ini, teknologi yang dipinjam yang bermanafa’at dan bersifat neutral di alu-alukan tetapi sebaliknya menuntut kerahan pemikiran scholars and specialists untuk mencapai satu ijma’ ke atas kesannya dari pelbagai sudut. Manakala sains yang membentuk tamaddun merupakan manifestasi fizikal bagi tasawwur al Islam jika ia didasarkan di atasnya.

2. Peningkatan Bilangan Penganut Agama

Agama menjadi pilihan ramai penduduk dunia pada abad 21 nanti. Rajah 1 menunjukkan statistik penganut agama dunia yang berkembang dari tahun 1900 hingga 2025. Penganut agama Kristian adalah yang paling ramai pada tahun 2002 dan 2025 diikuti dengan orang-orang Islam. Penganut agama Hindu adalah yang ketiga tertinggi dalam tempoh yang sama. Daripada rajah ini juga, didapati yang orang-orang Yahudi adalah paling sedikit. Peratus pertumbuhan diramalkan lebih kurang 2.1% bagi penganut Islam dalam tempoh 2002 hingga 2025 melebihi penganut Kristian. Penganut agama Yahudi pun berkembang lebih kurang 0.8% dalam tempoh yang sama. Walaupun bilangan Yahudi amatlah kecil, mereka merupakan ancaman yang besar kepada Islam pada ketika ini dan masa akan datang.

Dalam satu survei yang dilaporkan dalam New York Times pada 17 September 2008 telah mendapati perasaan anti-Muslim dan anti-Yahudi telah meningkat dalam beberapa negara di dunia. Dapatan ini adalah hasil daripada temu bual yang dijalankan ke atas 24,717 orang dalam 24 negara. Mereka telah mendapati 46% rakyat Sepanyol, 36% rakyat Poland, 34% rakyat Rusia, 25% rakyat Jerman dan 20% rakyat Perancis tidak menyukai orang Yahudi. Perasaan anti-Yahudi sudah meningkat berbanding dengan survei yang dijalankan beberapa tahun lepas terutama bagi orang Turki, Mesir, Jordan, Lubnan dan Pakistan.

Pandangan negatif terhadap orang Islam adalah lebih buruk lagi iaitu 52% rakyat Sepanyol, 50% rakyat Jerman, 46% rakyat Poland dan 38% rakyat Peranchis. Manakala di Amerika Syarikat dan Britain pula, didapati 1 dalam 4 orang mempunyai pandangan negatif terhadap orang Islam. Antara faktor penyebab adalah ekstremism dan imigrasi orang Islam seperti yang dilaporkan dalam media tersebut. Antara komen yang diberikan oleh anti-Muslim dalam National Review (19 November 1990):

“Western European societies are unprepared for the massive immigration of brown-skinned peoples cooking strange foods and maintaining different standards of hygiene...All immigrants bring exotic customs and attitudes, but Muslim customs are more troublesome than most.”

Unjuran statistik di atas menunjukkan Islam berpotensi untuk meningkatkan bilangan penganutnya. Namun demikian, penampilan dan penyampaian Islam yang bersifat dogmatik, dan kurang pengamalan sikap inclusiveness dalam pelbagai aspek dilihat sebagai sebahagian daripada faktor rencatan.


3. Kemunculan China dan India sebagai kuasa baru ekonomi dunia

Amerika dikatakan akan tetap menjadi kuasa besar yang menguasai ekonomi, teknologi dan militari pada abad ke 21. Negara China dan India di Asia akan muncul sebagai pemain global seperti mana kemunculan German pada abad ke 19; mereka akan mengatasi negara Eropah dan Jepun. Beberapa faktor yang menjadikan China dan India sebagai kuasa baru ialah perkembangan ekonomi, keupayaan ketenteraan dan jumlah penduduknya yang ramai. Ketika ini negara yang sedang maju seperti di Eropah dan Jepun mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang negatif dengan pertambahan warga emas yang ramai. Kebergantungan negara di Eropah dan Jepun kepada tenaga kerja asing membantut keupayaan mereka untuk terus menguasai dunia. Negara lain di Asia juga akan turut merasai kemajuan yang tinggi dengan muncul dua kuasa baru. Indonesia juga dikatakan akan muncul sebagai tapak kuasa ekonomi yang besar pada abad 21, tetapi disebabkan masalah dalaman yang sangat meruncing iaitu kadar kemiskinan yang sangat tinggi akan membantut kemajuannya. Malaysia yang mempunyai wawasannya untuk menjadi negara perindustrian pada tahun 2020 kemungkinan dapat direalisasikan di bawah kepimpinan yang mempunyai integriti (true to words, deeds, and ideas).

Namun demikian bagi negara yang mundur ketika ini akan menjadi bertambah teruk kerana amat ketinggalan dalam teknologi. Isu globalisasi akan menjadikan negara yang miskin semakin tenat. Negara-negara di sub Sahara Afrika, Eurasia, Timur Tengah dan Amerika Latin adalah mereka yang diramalkan mengalami situasi miskin jika keadaan pemulihan tidak dilaksanakan. Masalah kesihatan, migrasi penduduk, dan kadar jenayah berkemungkinan berleluasa bagi negara-negara tersebut.

Tidak dinafikan selain daripada keperluan kepada sumber ekonomi yang kukuh, zakat, waqf, bait al mal sebagai nadi ekonomi ummah harus diperkasakan. Peneraju institusi-institusi Islam ini mesti dipikul oleh mereka yang berkelayakkan dan berpengetahuan dalam ekonomi dan kewangan Islam. Sebagai langkah jangka panjang, ahli-ahli ekonomi Muslim perlu berusaha untuk merealisasikan etika ekonomi Islam dengan identiti serta institusi-institusi dan metodologi tersendiri sebagai persiapan untuk penstrukturan tamaddun Islam.


4.
Kejatuhan akhlak – kadar jenayah yang bertambah
Kaiser Family Foundation ialah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus kepada program komunikasi dan penyelidikan tentang isu kesihatan di USA dan global telah menerbitkan lampiran fakta tentang kes HIV/AIDS. Dalam lampiran fakta mereka, dilaporkan 21 juta manusia di dunia telah mati disebabkan HIV/AIDS dan 36 juta masih menghidapinya. 95% daripada penghidap ini berada dalam negara yang sedang membangun. Dalam tahun 2000 sahaja, 3 juta mati disebabkan penyakit yang berkaitan AIDS, 1.3 juta adalah wanita dan 500,000 adalah remaja dan kanak-kanak di bawah 15 tahun. AIDS menjadi punca kematian yang keempat tertinggi di dunia dan ketika ini 9 daripada 10 HIV positif tidak menyedari mereka sudah dijangkiti AIDS. Bagi tiga negara di Asia iaitu Kemboja, Myanmar dan Thailand, kadar pembawa HIV adalah 1% di kalangan rakyat yang berumur antara 15 hingga 49 tahun.

Barbara Crossette dari Pejabat United Nations bagi Kawalan Dadah dan Pencegahan Jenayah, telah menyatakan "U.N. Warns That Trafficking in Human Beings is Growing" dalam New York Times, bahawa perdagangan manusia merupakan jenayah yang cepat berkembang di dunia dengan pertambahan orang yang terlibat dan keuntungan yang melipat ganda yang terhasil daripada jenayah ini. Katanya, jenayah ini bukan setakat eksploitasi seks atau buruh paksaan tetapi wujudnya eksploitasi migrasi sebagai hamba. Ini adalah bertentangan dengan hak asasi manusia. Beliau juga menganggarkan lebih kurang 200 juta manusia yang sedang berada dalam genggaman pedagang haram ini. Dalam laporan yang lain, perdagangan wanita sudah mencapai USD 4bilion setiap tahun dan kemungkinan akan meningkat lagi serta akan menjadi aktiviti kedua tertinggi selepas perdagangan dadah.

Gejala di atas adalah manifestasi kepada satu sistem yang parah dan ketandusan nilai. Sistem tersebut membenarkan keuntungan dengan menggunakan apa jua cara.

Sunday, June 14, 2009

Sunday, April 5, 2009

Menuju Alam Perkahwinan

Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian diawal perkenalan dengan pasangan masing

masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat
jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar
berjalan -jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K' diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu
"Kenal", "Kelas", "Kufu", "Kasih" dan akhir sekali "Kahwin".

KENAL

Kita disuruh kenal/ta'ruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata-mata. Erti
kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, pergilah disuruh dan
dicari orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan perangainya.
Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Omar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila
melantik seorang saksi.

"Apakah kamu kenal lelaki ini?" tanya Omar
"Ya, saya kenal," jawab lelaki tersebut. Omar bertanya lagi...
"Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?"

Lelaki itu menjawab tidak pernah, Omar bertanya lagi "Pernahkah kamu bermu'amalah supaya kamu tahu
setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan
setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya"
Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai
dengan kita atau sebaliknya.
Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan
kewarakannya.. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui dari corak kelakuan sahabat-sahabat yang akrab
dengannya....
Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali,
TOLAK-ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.

KELAS

Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan
bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas
yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian
perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam
, sentiasa 'alert', sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat 'MEMBINA'
untuk menjaga akhlak dalam Islam.

KUFU

Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbang. Jika
terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang
dalam. Begitu juga daripada segi harta , ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan
kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, susah untuk seiring dengan keturunan kaya.
Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur. Memang betul, soal jarak umur diantara
Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak
yang sempurna. Dan tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh
diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.

KASIH

Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara
kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada
sebuah hadis:-

"Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan
perkahwinan"
Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat
Islam.

Rasulullah memberitahu:-

"Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu"

Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga..
Sememangnya terdapat " Orang orang yang benar-benar redha dengan pasangan yang di tentukan oleh Allah
tetapi pokok pangkal banyak terletak pada HATI kaum lelaki"
Kalau tak berkenan, jangan di paksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok pondok. Kasih yang
dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga.
Hadis Nabi ada menyatakan:-

"Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai
balasan,
Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan.
Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN, Allah akan menghina keturunanya dan

Barang siapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan
kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua duanya."

Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. InsyaAllah
perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan
hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

REDHA

Redha terhadap pasangan masing masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya,
Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur unsur
kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dengan pasangan
bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka.

"Apa yang dikatakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang di maksudkan sanggup
mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya"
Istilah kufu banyak di tekankan dalam Surah AnNur :ayat 26:-

"Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu
adalah untuk wanita yang baik"

Istilah kufu sangat di tekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan
tidak boleh diterima.
Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan
daripada suami.
Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat
boleh menyebabkan hubungan semakin renggang.
Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin, Sikap
kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka
menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa ....Begitu juga sebaliknya masalah berlaku
Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti "AKU UBAHLAH PERANGAINYA".
Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk.
Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti
mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga....